Uncategorized

Ini Semua Kerana Maruah. Nak Percaya Atau Tidak, Terpulang. Zamani Luah Isi Hati Buat Ramai Sebak

Saya berterima kasih kepada produksi kerana memberi peluang muncul di pentas meskipun tidak boleh menyanyi masa itu. Ini semua kerana maruah.”

Demikian kata penyanyi Zamani mengenai kegagalannya untuk membuat persembahan menerusi lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta pada program Gegar Vaganza 5, minggu lalu.

Penjelasan bekas vokalis kumpulan Slam itu sekali gus menepis tanggapan segelintir pihak yang mengatakan wujud elemen drama membabitkan dirinya dan pihak produksi.

Akui Zamani, dia pada mulanya enggan muncul kerana tidak mahu memalukan diri di atas pentas, namun memikirkan sokongan peminat menyebabkannya menggagahkan diri dan mencuba untuk menyanyi.

“ Sepanjang minggu lalu, saya memang sakit hingga tak boleh keluar suara. Namun, apabila dapat imuniti daripada Datuk Seri Aliff Syukri, ia satu tanggungjawab untuk saya.

“ Ramai suruh tarik diri, tapi saya tolak keegoaan. Dalam masa sama, imuniti itu ikhlas dan saya perlu galas kepercayaan diberikan.

“ Apa yang berlaku minggu lalu bukan drama. Perkara ini tidak perlu diulas panjang lebar lagi. Nak percaya atau tidak, saya tak boleh nak komen. Terpulang kepada masing-masing,” katanya.

Beliau berkongsi mengenai tahap kesihatannya, Zamani yang menyampaikan lagu Hapus Aku oleh kumpulan Nidji ketika ditemui semalam mengakui masih memerlukan rawatan dan pemantauan daripada doktor.

“ Menurut doktor, peti suara saya ok. Cuma, ada kemerahan. Doktor pun tak tahu kenapa suara boleh hilang.

“ Saya hanya pergi klinik yang dicadangkan Datuk Khadijah Ibrahim. Macam minggu ini pun, saya masih belum sembuh sepenuhnya.

“ Selasa lalu saya demam panas, Khamis okey dan Jumaat pula tak datang latihan. Jadi, Sabtu baru mula berlatih tugasan diberikan,” katanya.

Terdahulu walaupun nampak stabil, penyanyi Zamani Slam sebenarnya bimbang dengan keadaan kesihatannya apabila membuat keputusan menyertai program nyanyian Gegar Vaganza 5.

Jelas Zamani, 47, dia sudah lama menderita sakit tulang belakang bengkok dan memerlukan ubat tahan sakit yang dibekalkan doktor.

Malah, penyakitnya juga semakin teruk sehingga melarat membawa ke bahagian perut.

“ Saya faham format program ini memerlukan saya menyanyikan lagu-lagu artis lain dan bukan genre yang sinonim dengan saya.

“ Siapa tahu saya mungkin akan diberikan lagu dangdut yang memerlukan saya menari, tapi awal-awal lagi saya sudah jelaskan kepada penerbit berkenaan masalah penyakit saya.

“ Bukan saya cari alasan kerana mungkin susah sikit untuk saya berbuat demikian. Tapi saya akan cuba mana yang termampu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zamani, dia perlu mengehadkan pergerakannya agar tidak terlalu lasak kerana penyakitnya ini bukan main-main.

“ Pihak produksi faham tapi saya sendiri beritahu selagi saya boleh saya akan buat dan sekiranya berlebihan saya kena beritahu mereka,” katanya.

Sementara itu Zamani turut menjelaskan akan kembali menghasilkan single terbaru bersama Slam tidak lama lagi.

“ Perancangan memang ada. Lagipun kami akan terbabit dalam satu persembahan di Damansara pada Disember nanti.

“ Sudah terlanjur kami berkumpul, timbul perancangan untuk menghasilkan single terbaru Slam. Cuma ia belum dimuktamadkan dan saya tak boleh terlalu menghebahkannya,” katanya.

Tambahnya, anggota Slam yang lain iaitu Eddie (keyboard) dan Shah (gitar) juga berminat untuk kembali menghasilkan single terbaru dan sedang berbincang lanjut.

“ Kira-kira 20 tahun Slam tak menghasilkan lagu dan saya amat teruja. Bagi saya, apapun yang berlaku, Slam adalah keutamaan saya.

“ Untuk projek ini Slam akan berdikari menghasilkan lagu-lagu sendiri. Kami nak buat sesuatu yang baru dan konsepnya mungkin tak sama macam dulu.

“ Mungkin konsepnya tak lari jauh tapi ini adalah muzik Slam yang kami kehendaki,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber: hmetro

sila support kami

Popular Tag

Copyright © 2015 The Punde Theme. Powered by D'AhYoY

To Top