Uncategorized

Akhirnya… selepas tesis kena ‘reject’ 3 kali, pelajar pusing satu UPM cari Uncle Sri

Kisah seorang polis bantuan di sebuah universiti yang lebih mesra dipanggil Uncle Sri menjadi tular selepas dirinya diangkat sebagai wira tak didendang kerana personalitinya yang disenangi ramai.

Turut menerima kesan tular itu adalah seorang pemuda yang pernah menjadi sebahagian daripada kenangan yang paling tidak dapat dilupakan oleh Uncle Sri atau nama sebenarnyaSri Kantha Rao Sari Babu, 49, sepanjang berkhidmat di Universiti Putra Malaysia (UPM) hampir tiga dekad.

Insiden ‘tesis tidak diterima, dimarahi pensyarah’ sehingga pelajar itu menitiskan air mata di hadapan Uncle Sri di pondok pengawal, menggamit memori.


Uncle Sri dilabelkan sebagai wira tak didendang. Foto Facebook Universiti Putra Malaysia

Bekas pelajar UPM berkenaan, Muhammad Juzaily Mohd Shariff, 25, ketika berkongsi pengalaman manisnya berkata, peristiwa itu berlaku selepas dia pulang ke tanah air daripada menyertai program pertukaran pelajar di Jepun, pada 2015.

Ketika itu, dia merupakan pelajar tahun akhir dan mempunyai masa dua bulan untuk menyiapkan tesis, sebelum menyertai kem tahunan Askar Wataniah.

“Hanya Tuhan saja yang tahu betapa tertekan saya masa tu. Baru balik dari Jepun, masa suntuk untuk siapkan tesis, nak sertai ujian ketenteraan lagi.

“Tesis yang saya hantar pula tiga kali kena ‘reject’ (tolak) oleh pensyarah sebab tidak memenuhi kehendak dan piawaian, jadi keadaan semakin tertekan,” katanya yang lebih dikenali sebagai Jai, ketika dihubungi mStar Online, pada Isnin.

Uncle Sri (kanan) menerima penghargaan daripada Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Datuk Dr Aini Ideris (tengah). Foto Facebook Universiti Putra Malaysia

Hanya berbaki seminggu sebelum menyertai kem, Jai yang berasal dari Felda Sri Jaya di Ledang, Johor masih buntu, sehingga diberi amaran mengenai kemungkinan dirinya terpaksa mengulangi semester pengajian sekiranya gagal dalam projek tahun akhir.

Dalam keadaan yang semakin suntuk itu, Jai kemudian berjumpa dengan Uncle Sri yang kebetulan bertugas di pondok pengawal di fakultinya, dan di situlah berlakunya sesi berkongsi masalah bersama polis bantuan yang cukup ramah itu.

Uncle Sri telah berkhidmat di UPM hampir tiga dekad. Foto Instagram uniputramalaysia

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mengakui sewaktu pertemuan tersebut, dia meluahkan perasaannya sehingga air matanya menitis, tetapi disambut Uncle Sri dengan nasihat dan sokongan untuk tidak berputus asa.

“Uncle Sri beri semangat kepada saya untuk teruskan usaha. Saya buat balik (tesis), hantar semula dan bertawakal. Syukur Alhamdulillah, tesis saya akhirnya diterima pensyarah dan saya berpeluang menyertai kem,” kata Jai yang kini merupakan penolong pengurus di sebuah syarikat perladangan di Pahang.

Jai bersama ibu bapa dan anak saudaranya pada majlis konvokesyen.

Dengan semangat itu, Jai nekad untuk menunjukkan tesis kepada Uncle Sri, yang merupakan salah seorang kakitangan yang menerima penghargaan ‘Kualiti Perkhidmatan Pelanggan’ sempena Hari Kualiti dan Inovasi UPM, pada Sabtu lalu.

“Saya pusing satu UPM cari Uncle Sri. Saya pusing setiap pondok pengawal…  dari pintu masuk, fakulti sehingga ke stadium sebelum diberitahu dia bertugas di bangunan (pentadbiran) Canselori Putra.

“Sebab Uncle Sri antara individu yang memberi semangat kepada saya sehingga berjaya menyiapkan tesis, saya mahu dia bergambar dengan tesis saya,” katanya.

Uncle Sri mengabadikan kenangan bersama tesis milik Jai.

Secara peribadi, dia menyifatkan Uncle Sri sebagai antara individu berpengaruh di universiti itu yang memberi impak positif kepada orang lain.

“Walaupun dia hanya pengawal keselamatan, berdiri di tepi jalan, angkat tangan dan ucap ‘Selamat Pagi’, tetapi kesannya begitu besar kepada semua orang.

“Sehubungan itu, saya berharap kepada mereka yang masih belajar atau telah tamat pengajian, fikirkanlah bahawa setiap orang yang berada di sekeliling kita, tidak kira besar atau kecil mana peranannya, dia tetap memberi kesan kepada kejayaan kita, seperti Uncle Sri yang menjadi pembakar semangat buat saya,” katanya.

Walaupun sudah tamat pengajian di UPM, Jai masih berhubung dengan Uncle Sri.

Jai yang bakal ke jenjang pelamin bersama pasangan pilihannya pada 1 Disember ini berhasrat untuk menjemput Uncle Sri ke majlis perkahwinannya sebelah pengantin perempuan di Raub, Pahang, atau di kampung halamannya di Johor, selepas itu.

“Sudah tentu saya akan jemput Uncle Sri, antara orang yang penting. Harap Uncle Sri dapat hadir sekiranya berkelapangan,” katanya.

Pada Ahad, mStar Online melaporkan setiap kali majlis konvokesyen berlangsung di UPM, ia mengundang rasa hiba dalam kalangan penuntut terhadap Uncle Sri.

Senyuman manis, wajah penuh mesra dan lambaiannya yang menjadi penyeri di universiti, pasti dirindui para pelajar yang akan membawa haluan masing-masing.

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/11/05/kongsi-memori-uncle-sri/#qF8eH1JH4J8TbJHh.99

sila support kami

Popular Tag

Copyright © 2015 The Punde Theme. Powered by D'AhYoY

To Top