Uncategorized

‘Jurusolek insaf’ hilang pelanggan selepas henti guna bulu mata palsu, sanggul tinggi, tapi.

Cantik di mata manusia tapi buruk pada pandangan Allah, begitulah pendirian seorang jurusolek yang nekad tidak mahu lagi mengingkari larangan Islam dalam menjalankan tugasnya.

Perkongsian Nina Syazana, 25, yang sudah lima tahun menjadi jurusolek ternyata menarik perhatian ramai sehingga ia dikongsi hampir 2,500 pelayar Facebook.

Menerusi posting itu, Nina memaklumkan dia berhenti menawarkan khidmat pemakaian bulu mata palsu, sanggul tinggi serta mekap tebal kerana sedar ia sesuatu yang bertentangan dengan agama.

Sewaktu dihubungi mStar Online, Nina menjelaskan kesedaran itu baru sahaja menjentik diri dan bimbang pendapatan yang diperolehi tidak berkat jika berterusan melakukannya.

“Sebelum ini saya memang pakaikan bulu mata palsu, buat mekap tebal dan pakaikan sanggul untuk pengantin perempuan. Saya juga tolong siapkan pengantin lelaki seperti pakaikan sampin dan tanjak.

“Kadang-kadang saya sendiri yang paksa pelanggan pakai sanggul palsu untuk bagi nampak lebih cantik. Tapi akhirnya saya sedar ia perbuatan yang salah.

“Tapi ini tak bermakna saya berhenti jadi jurumekap, cuma lepas ni saya akan elakkan apa yang ditegah dalam agama, mekap yang saya akan hasilkan pula lebih kepada gaya natural dan soft sahaja,” kata Nina pada Rabu.

Sebahagian daripada perkongsian Nina yang dimuat naik ke laman Instagram dan Facebook.

Tambah Nina lagi, pendirian terbaharu itu turut menyebabkan dia kehilangan beberapa pelanggan.

Malah, beberapa rakan jurusolek turut mendiamkan diri sejak dia membuat posting berkenaan, berkemungkinan tidak bersetuju dengan kenyataannya itu.

“Tempahan mekap saya sudah ada sehingga Ogos 2019. Namun ada lima atau enam orang yang sudah batalkan. Mungkin sebab mereka masih nak pakai bulu mata palsu. Jadi sekarang saya dalam proses untuk kembalikan wang deposit mereka.

“Tapi Alhamdulillah, ajaibnya kuasa Allah, dia gantikan dengan pelanggan baharu. Ramai juga yang mesej, cakap yang mereka suka dengan pendirian saya.

“Malah ada seorang penjual bulu mata palsu pun turut mesej saya. Dia pun dah lama rasa seperti apa saya rasa, selepas baca posting itu dia juga nekad untuk berhenti sebab rasa duit tak berkat.

“Paling terkilan bila kawan-kawan jurumekap yang rapat langsung tak bagi apa-apa respon. Saya faham mereka nak jaga periuk nasi masing-masing,” katanya lagi.

Menurut jurusolek yang berpangkalan di Jerantut, Pahang itu, selain rasa ‘kosong’ dalam hati, kesedaran itu juga timbul setelah menyedari banyak bencana alam yang menimpa dunia, lewat kebelakangan ini.

“Baru-baru ini saya ada baca mengenai bencana di Palu, Indonesia. Dekat ruangan komen ada seorang pengguna Facebook sarankan supaya tengok ceramah seorang ustaz di laman Youtube, ceramah pasal akhir zaman.

“Ceramah tu agak panjang juga, saya tengok dan saya menangis. Saya terus solat sebab rasa macam banyak dosa sangat,” luahnya lagi.

Sementara itu, posting Nina di laman Facebook turut dihujani komen netizen yang rata-ratanya menyambut baik pendirian tersebut.

Malah, ramai yang mengakui tersentuh dengan perkongsian itu sambil mengingatkan bahawa rezeki Allah boleh dihadirkan dalam pelbagai bentuk dan cara.

“Alhamdulillah. Bila kita usaha dekat dengan dia, pasti dia akan bagi yang terbaik untuk kita. Yakin dengan rezeki Allah,” tulis Syafiqah Sofian

“InsyaAllah dear.. Percaya… Bila kita cuba buat apa Allah suruh… Rezeki lebih diberkati dan InsyaAllah lebih luas nanti,” tulis seorang lagi pengguna Facebook.

Sumber : mstar

sila support kami

Popular Tag

Copyright © 2015 The Punde Theme. Powered by D'AhYoY

To Top