Uncategorized

Aishah ditawarkan gelang emas ganti permata palsu

PENYANYI Aishah mendedahkan di sebalik kontroversi permata palsu diterimanya menerusi program Gegar Vaganza musim keempat, dua syarikat korporat tampil menawarkan hadiah gantian kepadanya.

Menurut Aishah, sebuah syarikat produk kecantikan ingin menghadiahkan seutas gelang emas manakala ada pihak turut menawarkan mata wang crypto sebanyak 10 Dinar Dirham Koin (DDK) bersamaan RM8,500.

Penyanyi lagu Janji Manismu itu meluahkan rasa terharu dan terima kasih atas kesudiaan dua pihak berkenaan yang ingin memberi hadiah kepadanya namun dia mengambil keputusan menolak tawaran itu.

“Alhamdulillah ada yang prihatin pada kes I, terharu sangat di atas tawaran untuk menghadiahkan I, DDK tetapi I terpaksa menolak tawaran tersebut. Jutaan terima kasih sekali lagi di atas keperihatinan anda,” katanya menerusi status Instagram miliknya pada Jumaat.

 

Aishah mendedahkan ada pihak ingin menghadiahkannya seutas gelang tangan sebagai gantian.

Minggu lalu, Aishah membuat pendedahan dia masih belum menerima hadiah sebidang tanah lot banglo selepas hampir setahun menjadi juara GV4.

Malah penyanyi itu turut mendakwa, barang kemas hadiah daripada usahawan Datuk Seri Vida yang bernilai RM80,000 juga didapati palsu.

Dalam pada itu, menerusi posting berbeza, Aishah berkata, perjuangannya dalam membela haknya melebihi angka wang ringgit atau nilai sesuatu barangan.

Kata Aishah, apa dilakukan bukan semata-mata untuk kepentingan diri sebaliknya membela teman-teman artis lain agar tidak diperlekehkan seperti mana terjadi kepadanya.

“Terharu di atas kepekaan pihak ini tapi perjuangan I melebihi angka wang ringgit atau barangan bernilai.

“Perjuangan I bukan saja utk diri I tetapi untuk teman-teman artis lain semoga kami tidak diperlekehkan dengan janji-janji, gebang pihak tertentu.

 

Ada juga pihak yang ingin menghadiahkannya mata wang crypto.

“Biarlah selepas ini kalau ada sebarang pampasan ia ditentukan oleh undang-undang sebagai pengajaran,” katanya.

Aishah menambah, apa dilakukan atas dasar prinsip dan kerana itu juga dia menolak semua tawaran diberikan kepadanya.

“Apa-apa pun terima kasih untuk tawaran diberikan, sebagai seorang wanita tentu sahaja hati melonjak bila dapat tawaran begitu.

“Tapi demi prinsip I terpaksa tolak tawaran ini. Biarlah malam ini I mimpi saja memakai gelang emas tu dan tersenyum,” katanya lagi.

 

Sumber : mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2018/09/08/aishah/#k44BTqbLHWFq3t1e.99

sila support kami

Popular Tag

Copyright © 2015 The Punde Theme. Powered by D'AhYoY

To Top