Uncategorized

‘Saya doa rakyat Selangor tabah’

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa tidak terkejut dengan keputusan dicapai dalam isu penstrukturan air di Selangor susulan pemeteraian persefahaman tawaran harga berjumlah RM2.55 bilion antara Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini.

Katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook miliknya, secara dasarnya pengumuman itu langsung tidak membuat beliau terperanjat kerana ia juga antara sebab kenapa dirinya diminta meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor pada 2014.

“Ia adalah kerana kecenderungan pimpinan PKR yang mahukan tawaran yang tinggi diberikan kepada Splash dan saya atas dasar menjaga kepentingan rakyat menolaknya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Air Selangor tawar RM2.55b ambil alih Splash]

“Hari ini apabila pembelian Splash oleh syarikat Air Selangor berjumlah RM2.55 bilion dimuktamadkan, ia menjadikan rakyat Selangor membayar lebih 10 kali ganda dari apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri pada 2013 dan strategi itu bakal memberi peluang kepada pemilik saham Splash mendapat keuntungan serta pampasan yang berlebihan,” katanya.

Abdul Khalid mendakwa, pada masa yang sama, ia juga meletakkan beban serta tanggungjawab untuk pembayaran tersebut ke atas rakyat dengan mengenakan tarif yang tinggi.

“Saya percaya kerajaan hari ini akan mengkaji semula atau mungkin menghentikan program pemberian air percuma kepada semua isi rumah di seluruh Selangor yang dilaksanakan sejak PR mengambilalih kerajaan pada 2008 yang lalu.

“Saya doakan agar rakyat Selangor tabah menghadapi perubahan yang besar ini,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan Abdul Khalid di  Facebook miliknya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang sebahagiannya dilihat turut kecewa sekiranya impak penyelesaian isu air itu bakal menamatkan program pemberian air percuma di negeri ini, malah tidak kurang juga yang mahu Abdul Khalid mencuba nasib bertanding pada PRK Dun Seri Setia.

Malah, sehingga berita ini ditulis, sebanyak 1,800 ‘share’ dikongsi netizen terhadap kenyataan itu.
Air Selangor tawar RM2.55b ambil alih Splash

Air Selangor tawar RM2.55b ambil alih Splash
Amirudin menyaksikan penyampaian surat tawaran oleh Suhaimi (tiga kiri) kepada Wan Azmi.

SUBANG – Penstrukturan semula dan pengambilalihan air Selangor yang tertangguh lebih sepuluh tahun akhirnya dimuktamad selepas termeterai persefahaman tawaran harga antara Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, proses rundingan tawaran harga RM2.55 bilion mengambil masa kira-kira setahun sebelum kata sepakat dicapai.

Menurutnya, pengambilalihan Splash menyaksikan Air Selangor muncul sebagai syarikat tunggal menjalankan proses, merawat dan mengagih air menjelang tahun hadapan.

“Nilai pengambilalihan Splash yang telah ditawarkan adalah berjumlah RM2.55 bilion bersamaan diskaun sebanyak 28 peratus berdasarkan nilai buku bersih Splash pada 30 Jun 2018 iaitu sebanyak RM3.54 bilion.

“Air Selangor akan membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM1.9 bilion dan baki pertimbangan sebanyak RM650 juta akan dibayar melalui bayaran ansuran tahunan untuk tempoh selama 9 tahun,” katanya selepas menyaksikan penyampaian surat tawaran oleh Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman kepada Pengerusi Splash, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah bertempat di Dorsett Grand Subang, hari ini.

Katanya, pengambilalihan ini tidak membabitkan apa-apa peruntukan kewangan dari dana kerajaan negeri Selangor

“Ini membolehkan Air Selangor beroperasi dengan tahap perbelanjaan kos operasi yang munasabah.

“Sebarang kenaikan tarif air perlu mendapatkan pengesahan kerajaan negeri terlebih dahulu dan kita akan menekankan kadar yang dikenakan tidak akan membebankan rakyat.

“Buat masa ini tiada sebarang ketetapan harga ditetapkan untuk kenaikan tarif. Kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mempunyai masa untuk perbincangan dan memutuskannya apabila tiba masanya,” katanya.

Sumber : sinarharian

sila support kami

Popular Tag

Copyright © 2015 The Punde Theme. Powered by D'AhYoY

To Top