Uncategorized

Kabinet Proton Wira

Nibong Tebal: Minat mendalam terhadap Proton Wira mencetus idea buat seorang pemilik bengkel membaiki kereta untuk menjadikan bahagian hadapan kenderaan terbabit sebagai kabinet rumahnya di Taman Merak, Simpang Ampat, dekat sini.

Idea kreatif Mohd Fitri Ahmad, 30, atau lebih dikenali sebagai Bob itu turut tular di Facebook sehingga ada yang mahu menempah ‘kabinet’ terbabit daripadanya, namun kerana kekangan masa dia terpaksa menolak permintaan mereka.

Menurut Bob, dia membeli rangka badan Proton Wira itu namun pada mulanya tidak bercadang untuk menghasilkan kabinet terbabit.

“Memang ada niat untuk membuat dekorasi dengan rangka badan terbabit, namun ketika itu ilham untuk menghasilkannya sebagai kabinet belum timbul.

“Bagaimanapun, selepas berfikir saya akhirnya mendapat idea untuk membuat kabinet menggunakan bahagian hadapan kereta yang dipotong itu,” katanya.

Menurutnya, dia memuat naik gambar dekorasi ciptaannya itu di laman Facebook miliknya dan tidak menyangka ramai yang berkongsi hingga menjadi tular.

“Ada rakan datang melihat sendiri hasil saya ini di rumah dan sehingga kini ada lima pelanggan yang mahu saya membuat kabinet seumpamanya untuk mereka.

“Namun buat masa ini saya tidak bercadang untuk melakukannya kerana lebih fokus kepada kerja membaiki kereta di bengkel,” katanya.

Bob berkata, dia mengambil masa lima hari untuk menyiapkan dekorasi itu dan kerja terbabit terpaksa dilakukan dengan teliti.

“Walaupun mungkin ia nampak mudah bagi sesetengah orang namun untuk membuatnya saya perlukan ukuran yang tepat untuk memotong bahagian hadapan kereta terbabit.

“Ini kerana jika ukurannya tidak betul ia menjadi tidak stabil jika bahagian hadapan kereta itu dilekat di dinding,” katanya.

Menurutnya, dia memang meminati reka bentuk Proton Wira dan sejak 2006 hingga kini Bob sudah memilik lapan kenderaan model terbabit.

“Saya juga minat melakukan kerja membaiki kereta, malah sejak berusia 16 tahun saya sudah bekerja secara sambilan di sebuah bengkel di Bukit Mertajam.

“Selepas tamat sekolah, saya bekerja di kilang dan dalam masa sama masih melakukan kerja sambilan di bengkel,” katanya.

Menurutnya, selepas mempunyai modal dia bersyukur kerana akhirnya berjaya membuka bengkel sendiri dengan memiliki tiga pekerja.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

sila support kami

Popular Tag

Copyright © 2015 The Punde Theme. Powered by D'AhYoY

To Top