Uncategorized

‘Serik, ini terakhir saya ke Malaysia’

“SAYA serik. Ini akan menjadi kunjungan terakhir saya ke Malaysia. Bayangkan, saya melalui insiden sama dua kali. Saya sendiri tidak percaya mengapa saya boleh berada di sini sekali lagi malam ini,” kata pereka fesyen dari Afrika Selatan, Tasneem Bulbulia.

Dia antara 38 pereka fesyen yang dijadualkan mempamerkan rekaan di pentas Minggu Fesyen Islamik Asia (AIFW) 2018 di MATRADE sehingga Sabtu.

Dia kecewa dan berasa dipermainkan berikutan langsung tidak mendapat notis pembatalan awal daripada pihak penganjur.

“Tahun lalu saya ada menyertai AIFW di KLCC dan ia berlangsung dengan cemerlang. Banyak sambutan dan ucapan tahniah daripada rakan dan mereka dalam industri fesyen seluruh dunia.

“Mac lalu saya sepatutnya mempamerkan rekaan di AIFW 2018, namun diberitahu acara terpaksa ditangguh berikutan masalah tajaan. Ketika itu saya sudah terkandas selama seminggu di sini. Malu pada rakan-rakan kerana tidak dapat berada di pentas sedangkan saya begitu teruja berkongsi di media sosial.

“Kali ini saya dipujuk untuk kembali ke sini. Saya bawa anak yang masih bersekolah dan suami. Namun ternyata insiden lebih teruk berlaku,” katanya kesal.

Tambahnya, walaupun kecewa dengan pihak penganjur, namun dia sedar tidak boleh menuding jari sepenuhnya kepada mereka kerana keputusan pembatalan dipengaruhi banyak aspek.

“Saya datang dari negara ketiga. Walaupun banyak halangan dan batasan dalam negara kami, namun kerajaan tidak pernah memandang remeh pada acara di peringkat sebegini.

“Ini peringkat Asia. Puluhan pereka datang dari pelbagai negara membawa harapan untuk perniagaan masing-masing. Bukan pentas kecil yang boleh dipermainkan,” katanya.

Keluhan sama disuarakan pereka Indonesia, Nila Baharuddin.


Nila (dua, kanan) dan Jeny Tjahyawaty (kanan) tidak berpuas hati program itu dibatalkan saat-saat akhir. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Menurutnya, pembatalan mengejut sebegini tidak sepatutnya berlaku, apalagi membabitkan pentas fesyen yang besar.

“Saya hanya mendapat tahu acara dibatalkan kira-kira jam 6 petang tadi. Semua kru, pakaian dan kelengkapan sudah berada di sini. Kami mengeluarkan belanja yang besar untuk menyediakan busana, mengupah kru dan tukang jahit, membayar harga tiket kapal terbang, penginapan, sewa logistik dan sebagainya.

“Malu. Kita sudah menjemput tetamu, mempelawa media Indonesia, penulis blog, mengemaskini laman media sosial, melakukan publisiti dan banyak lagi.

“Setakat ini, penganjur cuma maklum tidak mendapat tajaan lokasi. Selebihnya kami semua bingung. Tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Mahu tak mahu, kami merancang membawa isu ini ke pejabat kedutaan untuk penyelesaian lanjut,” katanya.

Pereka Malaysia, Hazreen Nursuraya Hashim berkata, dia terbang dari Dubai ke Malaysia kelmarin bersama kru, kelengkapan dan pakaian yang hendak diperagakan malam ini, namun hampa berikutan insiden itu .

“Sebagai rakyat Malaysia sendiri, saya malu. Saya lihat ramai pereka dari luar negara turut bingung apabila diberitahu AIFW 2018 dibatalkan malam ini. Sama seperti mereka, saya juga habis ribuan ringgit untuk melakukan persediaan dan menanggung kos terbang ke sini bersama kru. Malah saya turut menyewa lori untuk menempatkan peralatan dan kelengkapan,” katanya.

Dalam pada itu, pengasas AIFW, Fuza Umar ketika ditemui di ruang legar Menara MATRADE berkata, pihaknya kesal kerana terpaksa mengalah dan membatalkan acara di saat akhir.

“Sejujurnya, kami tidak mempunyai tajaan yang cukup untuk membiayai sewa lokasi seperti dijanjikan.

“Kita sudah cuba sehabis baik sehingga ke hari ini. Notis singkat terpaksa dikeluarkan sebab ada pihak yang berjanji untuk menaja sebelum ini.

“Apapun, kita akan melihat semula semua aspek. Kita akan bertanggungjawab terhadap perkara ini dan merujuk isu kewangan untuk tujuan tuntutan balik,” katanya.

Dia tidak dapat memberi komen lanjut berhubung janji penaja, namun mengesahkan AIFW 2018 tidak akan berlangsung tahun ini.

Sehingga jam 10 malam tadi, Fuza dilihat mengambil inisiatif bersua muka secara peribadi dengan pereka yang menunggu di ruang legar Menara MATRADE.

Sumber : harianmetro

sila support kami

Popular Tag

Copyright © 2015 The Punde Theme. Powered by D'AhYoY

To Top