Uncategorized

Kes bunuh Nur Alya Damia: Bertengkar kerana tabiat suspek suka hisap vape

Siasatan pihak polis berhubung kes kematian seorang penuntut Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) pada malam kelmarin mendapati, mangsa dan bekas teman lelakinya dipercayai bertengkar berkaitan tabiat suspek menghisap rokok elektronik (vape).

Lapor Harian Metro, pertengkaran mengenai vape itu antara faktor suspek berang dan bertindak mencekik Nur Alya Damia Hairi, 19, selama beberapa minit sehingga hilang nyawa dan mayatnya dicampak di tepi jalan.

Difahamkan, suspek yang berusia 19 tahun itu baru sahaja berpisah dengan mangsa beberapa minggu lalu sebelum bertemu semula pada malam kejadian untuk berbincang mengenai hubungan mereka.

“Ketika bertengkar di dalam kereta, mangsa dikatakan mengugut suspek untuk memberitahu ibu bapa lelaki itu mengenai perhubungan mereka, selain tabiatnya menghisap vape tanpa pengetahuan orang tuanya.

“Suspek yang marah kemudian hilang kawalan lalu mencekik leher mangsa selama beberapa minit sebelum menyedari hidung mangsa berdarah dan dia sudah tidak sedarkan diri.

“Lelaki itu dipercayai panik dan kemudian menolak mangsa keluar dari keretanya dan terus pulang ke rumah sewa,” kata sumber Harian Metro.

Terdahulu, mangsa dilaporkan keluar dari rumah sewanya dan dijemput oleh suspek dengan menaiki Proton Wira untuk pergi ke satu lokasi yang berdekatan dengan perumahan itu.

Pada jam 10.30 malam, mayat Nur Alya Damia ditemui oleh seorang penduduk di tepi jalan sebelum melaporkan penemuan yang tidak dijangka itu kepada pihak polis.

Susulan kejadian itu, polis berjaya mengesan dan menahan bekas teman lelaki mangsa, 15 minit selepas penemuan mayat mangsa. Suspek ditahan di rumah sewanya, kira-kira satu kilometer dari lokasi mayat mangsa ditemui.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana mebunuh.

Datuk sukar terima kehilangan Nur Alya

“DATUKNYA amat terkejut dan terlalu sedih sehingga tidak sanggup pergi ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk menuntut mayat Nur Alya,” kata Hairi Jamil, 45, bapa Nur Alya Damia, 19, yang mati dibunuh di Port Dickson, malam kelmarin.

Dengan suara masih bersedih, Hairi memberitahu wartawan NSTP, seperti dia dan isteri, bukan mudah untuk bapa mentuanya, Jamil Dolah, 75, menerima hakikat kejadian malang menimpa cucu kesayangannya itu.

“Arwah adalah cucu sangat rapat dengannya sejak kecil. Mungkin mereka lebih rapat disebabkan Nur Alya adalah cucu sulung daripada semua 15 cucunya.

“Dia tidak mengikut kami ke Port Dickson semalam, sebaliknya hanya menunggu di rumah di Pandamaran, Klang. Walaupun begitu, dia kerap menghubungi kami semua untuk bertanya bila jenazah akan dibawa pulang.

“Sebaik jenazah tiba 4.50 petang semalam, dia kerap menangis lebih-lebih lagi selepas melihat wajah cucunya itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian 10.30 malam kelmarin, mayat Nur Alya yang juga penuntut Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) ditemui seorang penduduk di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata, Port Dickson, sebelum dia menghubungi polis.

Susulan itu, polis menahan suspek utama iaitu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang juga penuntut KVPD di rumah sewanya di Taman PD Idaman, kira-kira satu kilometer dari lokasi mayat mangsa ditemui.

Jenazah Nur Alya Damia yang dipanggil Kak Long itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, di Klang, 6.50 petang semalam.

Sementara itu, bapa saudara mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, kali terakhir bertemu arwah Sabtu lalu ketika dia membawa keluarganya datang berbuka puasa di rumah Hairi.

“Arwah yang sememangnya mesra dengan kami kelihatan amat gembira seperti biasa dan dia masih suka mengusik anak saudaranya.

“Pasti kehilangan Nur Alya amat dirasai seluruh ahli keluarga kami,” katanya.

Sumber :hmetro

sila support kami

Popular Tag

Copyright © 2015 The Punde Theme. Powered by D'AhYoY

To Top